Pages

Monday, January 20, 2014

Dasar Automatif Nasional 2014

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hari ini telah membentangkan Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 bertempat di Menara Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

DAN 2014 sememangnya bukan saja dinanti-nantikan oleh pihak-pihak yang terlibat di dalam industri automotif negara, malah juga oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Persoalannya kini, adakah DAN 2014 yang dibentangkan itu telah memberikan impak positif kepada rakyat Malaysia melalui penurunan harga kereta? Jawapannya adalah tidak.

Pihak kerajaan pada petang tadi secara rasminya telah mengumumkan bahawa cukai eksais kenderaan tidak akan diturunkan, dengan alasan status kewangan negara masa kini yang berada pada paras defisit.

Tanpa penurunan harga kereta seperti mana yang dijanjikan oleh manifesto Barisan Nasional dalam PRU13 yang lalu, DAN 2014 seperti mana yang dibentangkan terasa hambar dan mengecewakan.

Mungkin terdapat beberapa dasar yang boleh dipuji seperti menjadikan Malaysia sebagai hub automatif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicles : EEV), tetapi saya percaya ianya akan mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan.

Bagaimana pula dengan harga kenderaan hibrid yang sebelum ini menerima pengecualian cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2013? DAN 2014 telah menetapkan hanya kenderaan hibrid yang dipasang di dalam negara sahaja (CKD) masih layak untuk dikecualikan daripada kedua-dua cukai tersebut.

Bagi kenderaan hibrid atau eletrik yang diimport masuk sepenuhnya (CBU), tiada lagi pengecualian cukai selepas ini seperti mana yang dinikmati sebelumnya, kecuali bagi unit-unit yang telah dibawa masuk sejak tahun lepas.

Berkenaan sistem Permit Import (AP) yang hanya menguntungkan segelintir pihak yang berkepentingan dan mendapat bantahan meluas dari majoriti rakyat Malaysia, pihak kerajaan seperti mana yang dijangka telah membuat keputusan untuk terus mengekalkan dasar sedia ada.

Pihak kerajaan dikatakan hanya akan membuat kajian lebih mendalam mengenai sistem AP selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, bagi menilai kesan yang mungkin akan timbul terhadap penyertaan Bumiputera dalam industri automotif jika ianya dimansuhkan.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih perlu membeli kereta berjenama bukan nasional pada harga yang tinggi setelah DAN 2014 diumumkan, disebabkan tiada sebarang pengurangan cukai eksais daripada pihak kerajaan.

Tanpa pengurangan cukai eksais, rakyat Malaysia hanya mampu membeli kereta berjenama tempatan, namun dengan spesifikasi yang rendah atau telah dikurangkan.

Adalah mustahil model-model kereta berjenama tempatan yang mempunyai spesifikasi tinggi seperti Proton Preve dan Suprima S ditawarkan pada harga rendah, kecuali apabila ianya diturunkan tarafnya menjadi model Super Value (SV).

Di bawah berikut ialah kenyataan media mengenai Dasar Automotif Negara 2014, termasuk persembahan ‘slide’ DAN 2014. Sila klik untuk membaca kedua-duanya;
Media Statement: National Automotive Policy (NAP) 2014
Artikel Berkaitan:
Dasar Automotif Nasional 2014: Harga kereta bakal turun lagi?

Sumber: permotoran.com

No comments:

Post a Comment